Home > Koleksi Surat-surat Light

Koleksi Surat-surat Light

Koleksi surat Francis Light (1740-94) merupakan koleksi surat Melayu paling besar yang masih ada hari ini. Francis Light terkenal kerana peranannya dalam pendudukan East India Company (EIC) di Pulau Pinang. Surat-surat didalam koleksi ini bermula dari zaman penempatan British di Pulau Pinang pada tahun 1771 sehinggalah kematian Light pada tahun 1794. Disamping itu, terdapat juga beberapa dokumen lebih awal. Isi kandungan surat-surat ini meliputi pembukaan penempatan dan pelabuhan dagang di Pulau Pinang dan hubungan komersil antara Raja-raja, pembesar-pembesar Melayu dan para peniaga tempatan dengan pihak Light, rakan niaganya , Kapten James Scott dan East India Company (EIC). Terdapat juga surat mengenai rundingan antara raja-raja Kedah dengan Light mengenai hak milik pulau, dan mengenai ganti rugi yang berpatutan akibat kehilangan punca pendapatan. Melalui projek Pendigitalan dan Dokumentasi Surat-surat Light, satu perjanjian telah ditandatangani diantara School of Oriental and African Studies (SOAS), London dengan Universiti Sains Malaysia melalui Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) serta Perpustakaan USM yang bertujuan untuk memberikan akses kepada Surat-surat Light melalui hak-hak yang dikawalnya untuk pengkatalogan dan pencarian transkripsi dan transliterasi yang dihasilkan. Surat-surat Francis Light yang telah didigitalkan menghasilkan 2400 imej. Pengkatalogan bahan digital Light Letters akan dilaksanakan oleh Perpustakaan. Transliterasi dan transkripsi bahan akan dihasilkan oleh Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS). Pencarian transkripsi dan metadata deskriptif bahan boleh diakses melalui sistem perisian terbuka yang diuruskan oleh Perpustakaan.